Berita & Aktiviti TBS

TBS Sports Day 2026 Meriah dan Penuh Keceriaan

TBS Sports Day 2026 Meriah dan Penuh Keceriaan

PUTRAJAYA – TBS Educare telah berjaya menganjurkan TBS Sports Day 2026 pada 14 Jun 2026 bersamaan hari Ahad yang berlangsung dari pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari bertempat di Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya.

Hari Sukan merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan bagi memberi peluang kepada kanak-kanak melibatkan diri dalam aktiviti fizikal secara menyeronokkan. Program ini bertujuan menggalakkan perkembangan fizikal, sosial dan emosi murid melalui aktiviti sukaneka yang sesuai dengan peringkat umur mereka.

Selain itu, program ini turut membantu membentuk perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh dari aspek fizikal, emosi, sosial dan intelek. Melalui penyertaan dalam pelbagai acara, murid dapat memupuk semangat kerjasama, disiplin, keberanian serta keyakinan diri.

Antara objektif utama TBS Sports Day 2026 adalah untuk mencetuskan keseronokan kanak-kanak agar bergerak aktif melalui aktiviti sukan yang ceria dan selamat. Program ini juga dapat mengasah kemahiran motor kasar serta koordinasi tubuh badan secara semula jadi.

Selain itu, murid digalakkan untuk mencuba setiap aktiviti dengan berani dan tidak mudah berputus asa. Penglibatan bersama antara murid, guru dan ibu bapa turut membantu mengeratkan hubungan mesra serta memupuk minat terhadap gaya hidup sihat sejak usia awal.

Pada tahun ini, TBS Sports Day tampil dengan tema watak kartun yang menarik dan berwarna-warni. Murid dan guru telah dibahagikan kepada empat rumah sukan, iaitu Ninja Turtles bagi Rumah Hijau, SpongeBob bagi Rumah Kuning, Doraemon bagi Rumah Biru dan Cars McQueen bagi Rumah Merah.

Program ini telah dikendalikan oleh Cikgu Shamizan Shafea dengan penuh komitmen dan semangat. Sebanyak 10 acara sukaneka telah disediakan khas untuk kanak-kanak berusia antara 2 hingga 6 tahun. Turut diadakan ialah satu acara khas untuk para bapa, satu acara untuk para ibu dan satu acara untuk para guru.

Suasana sepanjang program berlangsung begitu meriah dengan sorakan dan sokongan daripada ibu bapa. Para ibu bapa memberikan kerjasama yang sangat baik dan begitu bersemangat memberikan sokongan, terutamanya apabila melihat anak-anak mereka menyertai acara yang dipertandingkan.

Pelbagai hadiah menarik turut disediakan kepada para peserta. Selain hadiah pertandingan, cabutan bertuah juga diadakan bagi memeriahkan lagi suasana dan menghargai kehadiran serta sokongan ibu bapa.

Secara keseluruhannya, TBS Sports Day 2026 telah berlangsung dengan lancar dan penuh keceriaan. Program ini bukan sahaja memberikan pengalaman yang menyeronokkan kepada kanak-kanak, malah menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara pihak sekolah, guru, murid dan ibu bapa.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua guru, kakitangan, ibu bapa serta pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga TBS Sports Day akan terus menjadi kenangan indah buat anak-anak dan dapat dianjurkan dengan lebih meriah pada masa akan datang.

Related Articles

Edutainment Fest 2024

Edutainment Fest 2024

Ceramah Kesedaran Seksual

Ceramah Kesedaran Seksual